PAKATAN RAKYAT (PR) JOHOR
18 November 2009
Kelab Wartawan Johor Selatan, Jalan Cermat
Taman Maju, Johor Bahru
BAJET 2010 PAKATAN RAKYAT (PR) JOHOR
“BAJET MESRA RAKYAT”
PENDAHULUAN
Pakatan Rakyat (PR) Johor dengan penuh rasa tanggungjawab ingin mengemukakan beberapa cadangan kepada Dewan Undangan Negeri Johor (DUN Johor) yang akan bersidang pada 19hb. November, 2009 bagi membahaskan Belanjawan 2010. Saranan dikemukakan berdasarkan realiti terkini keadaan ekonomi dan kewangan global, ketidaktentuan pasaran komoditi serta kesan beberapa faktor lain terhadap ekonomi Malaysia dan Negeri Johor.
SENARIO EKONOMI SEMASA
Terlalu awal untuk mengatakan bahawa kemelesetan ekonomi global telah berakhir tetapi beberapa petunjuk ekonomi mengambarkan bahawa kemelesetan atau kelembapan ekonomi telah mula distabilkan. Dua pakej ransangan ekonomi yang melibatkan RM92 bilion yang dikatakan terbesar didunia jika dilihat dari nisbahnya dengan KDNK negara adalah pendorong utama kepada permulaan proses ini. Persoalannya adakah aktiviti ekonomi negara boleh bertahan pada tempo yang sama jika pakej ransangan ini ditarik balik. Proses pemulihan (recovery) adalah dijangkakan agak perlahan dan tidak menentu.
IMF menjangkakan ekonomi global akan berkembang 3.1% dalam tahun 2010 berbanding penguncupan 1.1% pada tahun 2009. Ekonomi Amerika dijangka berkembang 1.5%, Jepun (1.7%) dan China (9%). Asian Development Bank (ADB) menjangkakan perkembangan KDNK Asia pada kadar 6.4% tahun 2010.
KDNK Malaysia mengalami penguncupan -3.9% dalam suku kedua tahun 2009 setelah mengalami penguncupan 6.2% pada suku pertama tahun 2009. MIER meramalkan KDNK atau pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2010 pada kadar 3.7%. Pertumbuhan ini adalah didorong kuat oleh pakej rancangan fiskal, kadar faedah yang rendah dan meliberalkan 27 sektor perkhidmatan oleh kerajaan baru-baru ini. Kerajaan Negeri Johor hendaklah mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi menghadapi unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2010. Kerajaan Negeri hendaklah bijaksana dalam mengemudi kewangan Negeri Johor bagi mengharungi fenomena ekonomi global. Kerajaan Negeri hendaklah sedar akan kemunculan cabaran ekonomi semasa dalam bentuk kenaikan kadar inflasi, kenaikan kos sara hidup, peningkatan pengangguran dan penguncupan kemasukan dana asing. Kami akan melaksanakan tugas kami bagi mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab dalam hal ini demi memastikan sumbangan para pembayar cukai dan kekayaan hasil semulajadi Negari Johor dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk rakyat dan masa hadapan Negeri Johor.
Strategi Bajet PR 2010
1. Meningkatkan hasil pendapatan dan mengamalkan perbelanjaan berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan negeri.
2. Memacu pertumbuhan dan mengujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
3. Merakyatkan ekonomi dengan meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat
1) STRATEGI MENINGKATKAN HASIL PENDAPATAN DAN MENGAMALKAN PERBELANJAAN BERHEMAT
Strategi meningkatkan hasil pendapatan dan berbelanja secara berhemat adalah pendekatan yang sangat kritikal terutama dalam usaha memperbaiki defisit terkumpul Akaun Hasil Disatukan (Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai & Terimaan Bukan Hasil) yang mengalami pertambahan defisit sebanyak 21% (RM70.35 juta) iaitu daripada RM335.02 juta (2007) kepada RM405.37 juta (2008).
Walaupun kutipan hasil pada tahun 2008 meningkat sebanyak 4.2% (RM32.76 juta) iaitu dari RM779.6 juta (2007) kepada RM812.36 juta (2008) tetapi dalam masa yang sama perbelanjaan kerajaan negeri terus meningkat sebanyak 13.9% (RM107.63 juta) iaitu dari RM775.08 juta (2007) kepada RM882.71 juta (2008). Keadaan ini boleh digambarkan seperti berikut;
2004 2005 2006 2007 2008
HASIL 774.56 617.18 693.22 779.60 812.36
PERBELANJAAN 621.35 656.67 686.09 775.08 882.71
Hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan pula meningkat sebanyak 20.6% (RM173.57 juta) dari RM841.13 juta (2007) kepada RM1.01 bilion (2008) antara yang tertinggi di Malaysia. Tambahan pula mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2008, kadar kecairan tunai kerajaan negeri adalah rendah kerana nisbah jumlah aset semasa yang terdiri dari tunai (RM36.37 juta) dan pelaburan (RM165.16 juta) dengan jumlah tanggungan semasa adalah kurang daripada 1. Dengan kata lain jumlah aset semasa tidak dapat menampung jumlah tanggungan semasa.
Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan perlaksanakan strategi-strategi berikut bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri;
1. Perlaksanaan ‘Sistem Tender Terbuka’. Semua kontrak kerajaan mesti ditender secara terbuka bagi mengujudkan persaingan sihat dan ketelusan. Kesemua syarikat yang layak akan diberikan peluang sama rata untuk mendapat kontrak dan projek bekalan kepada kerajaan. Tender terbuka juga akan diaplikasi dalam penganugerahan konsesi balak, pembangunan tanah kerajaan secara penswastaan atau usahasama dan pelupusan aset-aset kerajaan negeri. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah telah membuktikan dengan perlaksaan sistem tender terbuka dapat meningkatkan pendapatan kerajaan negeri melebihi 200% sepertimana yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.
2. Mengambil tindakan tegas termasuk melalui saluran perundangan bagi mengutip tunggakan hasil yang meningkat sebanyak 1.8% (RM2.71 juta) iaitu dari RM153.47 juta (2007) kepada RM156.18 juta (2008). Antara tunggakan hasil yang terlibat adalah seperti berikut;
Jenis Tunggakan Hasil 2007 (Juta) 2008 (Juta)
1 Cukai Tanah 76.96 79.18
2 Sewa & Sewa Beli Rumah 42.11 42.44
3 Hasil Penswastaan 17.62 17.01
4 Hasil Lain 16.78 17.55
Jumlah 153.47 156.18
3. Mengambil tindakan tegas termasuk saluran perundangan bagi mengutip tunggakan pinjaman daripada agensi-agensi negeri yang berjumlah RM601.61 juta (2008). Agensi-agensi yang terlibat adalah seperti berikut;
Nama Agensi 2007 (Juta) 2008 (Juta)
1 Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd 597.50 511.82
2 Perbadanan Johor 66.62 87.59
3 Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) 3.02 2.2
4 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 5.56 0
Jumlah 672.7 601.61
4. Meningkatkan penguatkuasaan dan membuat pemantauan yang berterusan kepada permit-permit yang dikeluarkan khususnya permit mengeluarkan bahan batuan, pasir dan balak. Berlaku ketidakseragaman diantara bayaran permit dengan kutipan cukai yang dipunggut. Sebagai contoh hasil lesen dan permit perhutanan bagi tahun 2010 dianggarkan RM200,000 dan jangkaan cukai keluaran hutan hanyalah RM5 juta sahaja. Begitu juga dengan anggaran hasil permit galian & bahan batu bagi tahun 2010 dianggarkan RM55 juta sedangkan jangkaan hasil cukai galian hanyalah RM50,000 sahaja.
5. Mengkaji semula polisi Projek Penswastaan oleh kerajaan negeri. Pendapatan daripada projek penswastaan adalah dianggarkan RM15 juta (2009) dan RM20 juta (2010). Banyak projek penswastaan yang dijalankan oleh kerajaan negeri banyak menguntungkan pihak swasta seperti projek Teluk Danga, Nong Chik Heights, Pekan Rabu dan Kondominium Datin Halimah.
6. Meningkatkan hasil pendapatan dalam bentuk ‘Premium Geran Tanah’ dan ‘Cukai Tanah Berulang’ melalui penganugerahan hakmilik tanah berstatus kekal atau pajakan 99 tahun kepada penempatan bangsa Cina, Melayu dan India seperti Kampung Baru Cina, Kampung Melayu dan Kampung India.
7. Mengkaji semula 3 pelaburan kerajaan negeri yang tidak menguntungkan sejak tahun 2004 dalam syarikat-syarikat seperti berikut;
Pelaburan (Juta) 2004 2005 2006 2007 2008
1 Syarikat Air Johor S/B 100 100 100 100 100
2 Syarikat Permodalam Darul Ta’zim 1 1 1 1 1
3 KPRJ 1 1 1 1 1
4 Tabung Amanah Warisan Negeri Johor 303 308.06 321.65 344.55 326.62
Jumlah 405 410.06 423.65 446.55 428.62
8. Mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula caj air mentah kepada Singapura melalui perjanjian yang ditanda tangani dengan Public Utilities Board (PUB) yang hanya mengenakan bayaran 3 sen bagi setiap 1,000 gelen sedangkan caj air mentah yang dikenakan kepada Negeri Melaka (1991-2090) melalui bekalan air mentah dari Sungai Muar adalah 30 sen bagi setiap 1,000 gelen. Caj air mentah juga hendaklah dikenakan kepada Loji Rawatan Air (LRA) milik SAJH yang selama ini menggunakan air mentah secara percuma. Sumber air di Negeri Johor jika urus dengan baik boleh menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan dengan cara menjual air yang telah dirawat keluar negara.
9. Laporan Ketua Audit Negara 2008 menyatakan 54 projek (8,723 unit) Perumahan Awm Kos Rendah (PAKR) daripada 64 projek (10,739 unit) yang siap dibina 1981-1997 telah dijual tanpa CFO. Ini merugikan hasil negeri kerana rumah yang belum dikeluarkan CFO, hakmilik tanah tidak boleh dikeluarkan dan seterusnya cukai tanah dan cukai pintu tidak boleh dikutip oleh Pejabat Tanah dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan akan hilang sumber hasil dari Duti Setem dan Cukai Keuntungan Hartanah kerana rumah yang belum dikeluarkan CFO tidak boleh dipindahmilik kepad orang lain.
10. Memperkukuhkan perdagangan antara negara-negara ‘Segitiga Johor-Singapura-Batam’ bagi meningkatkan permintaan diperingkat wilayah (regional).
2) STRATEGI MEMACU PERTUMBUHAN DAN MENGUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN
1. Unjuran 3%-3.7% pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2010 adalah merupakan permulaan yang baik bagi kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Johor setelah mengalami penguncupan pada tahun 2009. Pada kebiasaannya pertumbuhan ekonomi bagi Negeri Johor mengatasi purata pertumbuhan ekonomi diperingkat nasional.
2. Peningkatan Pelaburan Terus Asing (FDI) yang meningkat dari RM6.75 bilion (2007) kepada RM9.4 bilion (2008) telah meletakan ekonomi Negeri Johor di landasan yang betul untuk memacu ekonomi negeri. RM9.4 bilion FDI ini adalah kedua tertinggi selepas Serawak dan merupakan 20.39% daripada jumlah keseluruhan FDI yang diterima oleh Malaysia iaitu RM46.1 bilion. Kemasukan FDI perlu dipertingkatkan bagi mengujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Negeri Johor.
3. Langkah Kerajaan Persekutuan meliberalisasikan 27 sub-sektor dalam sektor perkhidmatan diharap akan dapat menarik minat pelabur asing untuk membuka pejabat cawangan mereka di Malaysia khususnya di Negeri Johor. Antara perkhidmatan yang terlibat adalah perkhidmatan berkaitan komputer, kesihatan dan kemasyarakatan, perlancungan, pengangkutan, rekreasi, perkapalan dan perkhidmatan perniagaan.
4. Sektor yang perlu menjadi tumpuan kepada pelaburan asing adalah sektor pembuatan (eletrikal & elektronik, chemical, petrochemical), ICT, bioteknologi, makanan, perabut dan pembangunan hartanah.
3) STRATEGI MERAKYATKAN EKONOMI DENGAN MENINGKATKAN TAHAP KUALITI HIDUP RAKYAT
Pertumbuhan dan kekayaan ekonomi hendaklah dikongsi bersama oleh semua rakyat Negeri Johor. Justeru itu pelbagai keperluan dan kemudahan asasi kepada rakyat hendaklah ditingkatkan daripada masa ke semasa khususnya penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, telefon, kediaman, pendidikan, kesihatan, jalanraya, pengangkutan awam, alam sekitar, latihan kemahiran dan sebagainya.
Cadangan Peruntukan Belanjawan
1. Pakatan Rakyat (PR) Johor menjangkakan Bajet 2010 adalah juga merupakan bajet defisit dalam margin defisit yang munasabah dan berpatutan. Ini adalah merupakan bajet defisit tahun ketiga setelah defisit Bajet 2008 (RM2.04 juta) dan Bajet 2009 (RM1.9 juta).
2. Pakatan Rakyat (PR) Johor telah mengenalpasti 9 sektor yang perlu diberikan fokus oleh kerajaan dalam Bajet 2010. 9 sektor ini juga telah dikenalpasti mempunyai ‘kesan berganda’ kepada ekonomi dan pembangunan negeri Johor. Antara sektor-sektor tersebut adalah seperti berikut;
Perumahan Rakyat (1)
1. Rumah adalah merupakan suatu keperluan asasi kepada manusia. Daripada kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak menunjukkan masih ramai lagi rakyat Johor yang tidak memiliki rumah sendiri khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Pakatan Rakyat (PR) Johor bepegang kepada prinsip “Satu Keluarga Satu Rumah” bagi menyediakan asas kepada kesempurnaan kehidupan.
2. Pembinaan perumahan kos rendah masih belum mencukupi bagi bandar-bandar utama di negeri Johor seperti Johor Baru, Batu Pahat dan Kluang. Syarat 30% kuota kos rendah yang dikenakan kepada Pemaju Perumahan Kerajaan hendaklah ditingkatkan penguatkuasaannya dimana pemaju hendaklah membina dahulu rumah kos rendah atau dibina bersekali dengan pembangunan jenis kediaman yang lain. Walaupun pembinaan rumah kos rendah tidak menguntungkan pemaju perumahan tetapi ianya adalah merupakan ‘Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)’.
3. Kerajaan negeri melalui JCorp hendaklah menerajui pembinaan rumah kos rendah dengan menubuhkan Lembaga Perumahan Rakyat (LPR) bagi keperluan rakyat berpendapatan rendah. Tindakan ini adalah wajar kerana JCorp pada kebiasaannya diberikan sumber tanah pada kos paling minima oleh kerajaan negeri.
4. Sistem pembahagian perumahan kos rendah melalui SUK (Bahagian Perumahan) dan syarat-syarat yang dikenakan hendaklah dikaji semula keberkesanannya. Syarat gaji maksimum RM2,500 sebulan hendaklah benar-benar dikuatkuasakan. Amalan pemberian perumahan kos rendah kepada bukan kumpulan sasaran hendaklah dihentikan. Bagi memastikan pemohon yang layak memilikki rumah kos rendah menduduki rumah tersebut maka syarat tambahan dikenakan di mana rumah kos rendah tersebut tidak boleh dipindahmilik dalam tempoh 5 tahun.
5. Kerajaan hendaklah memastikan pembinaan ‘Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR)’ (RM25,000 – RM80,000 seunit) dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2008, hanya 6 daripada 13 projek PAKR yang dapat disiapkan dalam RMK-8. Baki 7 projek PAKR dibina dalam RMK-9 sedangkan 9 projek PAKR dalam RMK-9 masih belum dilaksanakan. Kelewatan ini akan melambatkan proses untuk mencapai ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.
6. Pakatan Rakyat (PR) Johor menyokong usaha kerajaan untuk mencapai sasaran bebas setinggan menjelang 2010 dengan melaksanakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara besar-besaran dengan melibatkan Jabatan Perumahan Negara (JPN). Setakat ini sebanyak 6,712 unit rumah PPR telah dibina. Mengikut statistik masih terdapat lebih kurang 16,000 keluarga setinggan di daerah Johor Bahru. Malangnya konsep yang digunakan hanyalah berbentuk sewaan sahaja pada kadar RM124 sebulan. Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan supaya perumahan PPR ini dijual kepada penduduk setinggan melalui skim “SEWA-BELI”.
7. Kerajaan hendaklah menyediakan dana bagi tujuan subsidi kos peyelenggaraan bangunan bertingkat kos rendah bilamana Perbadanan Pengurusan (PP) ditubuhkan. Keperluan ini sangat mendesak kerana bayaran caj perkhidmatan yang mampu dibayar oleh pemilik adalah minima antara RM25 – RM30 sebulan. Jumlah bayaran ini tidak mencukupi untul PP melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan seperti pembersihan kawasan gunasama, servis lif, baiki kebocoran, cat bangunan dan sebagainya.
8. Kerajaan Negeri hendaklah menyediakan perumahan yang selesa bagi golongan rakyat termiskin. Pakatan Rakyat (PR) bersetuju dengan perlaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi menyediakan perumahan yang selesa bagi golongan miskin tegar. Setakat ini di Negeri Johor terdapat seramai 4,724 orang dalam kategori miskin manakala seramai 4,772 orang miskin tegar iaitu mereka yang berpendapatan kurang RM600 sebulan. Setakat ini kerajaan negeri hanya berjaya membaik pulih 700 buah rumah dengan melibatkan RM5.6 juta. Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) antara agensi kerajaan yang perlu terlibat bagi memanfaatkan wang kutipan zakat dalam membina dan membaik pulih rumah sediada.
9. Di Negeri Johor terdapat lebih daripada 40 Kg. Baru Cina yang telah diduduki sebelum merdeka lagi. Pada masa sekarang hakmilik tanah yang diberikan adalah berbentuk pajakan 30, 60 atau 99 tahun. Pakatan Rakyat (PR) Johor mencadangkan supaya hakmilik pegangan kekal (freehold) atau pajakan 99 tahun diberikan kepada mereka.
10. Kerajaan negeri hendaklah mengurniakan hakmilik kekal atau pajakan 99 tahun kepada penempatan Melayu dan India di bandar-bandar utama di Negeri Johor seperti Kg. Melayu Majidee, Kg. Kurnia dan Kg. Nesa bagi memastikan bahawa penempatan Melayu dan India akan terus ujud dibandar-bandar utama.
11. Aktiviti dimana rakyat Singapura membeli hartanah di Malaysia dengan menggunakan nama rakyat Malaysia sebagai ‘proksi’ telah berlaku sekian lama dan berluas-luasa. Amalan ini memberi kesan keatas pola pemilikan hartanah oleh warga asing di Negeri Johor. Sudah sampai masanya kerajaan mengenalpasi mekanisma bagaimana amalan ini perlu dibenteras secepat mungkin.
12. Kerajaan hendaklah melaksanakan kajian terperinci pola pemilikan hartanah oleh Bumiputra dan Melayu di Iskandar Malaysia (IM). Kajian ini penting bagi memastikan pola taburan penduduk dimasa hadapan di Iskandar Malaysia (IM) mencerminkan konsep ‘1 Malaysia’.
13. Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan supaya cukai pintu bagi hartanah kediaman kos rendah dikecualikan disamping kerajaan tempatan dicadangkan menggunakan kadar yang sama bagi semua jenis pegangan bagi seluruh Negeri Johor.
14. Kerajaan hendaklah mengkaji semula syarat-syarat pemilikan harta oleh warga asing supaya tidak menimbulkan masalah sosial, ekonomi dan politik di masa hadapan khususnya di kawasan Iskandar Malaysia (IM). Kebimbangan ini berasaskan kepada kecenderungan pemaju perumahan di Iskandar Malaysia yang memberikan tumpuan untuk membina perumahan mewah yang hanya mampu dimiliki oleh warga asing.
Pendidikan Modal Insan (2)
1. Kerajaan hendaklah mengujudkan semula biasiswa pendidikan kepada mereka yang layak serta keutamaan diberi kepada pelajar dari golongan yang berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa dan agama. Bagi mereka yang beragama Islam duit zakat perlulah digunakan bagi menyediakan biasiswa khususnya kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pendidikan agama samada di universiti tempatan atau luar negera.
2. Mempergiatkan kutipan balik pinjaman pendidikan yang telah diberikan supaya pinjaman yang sama boleh diberikan kepada mereka yang perlu pada tahun yang akan dating. Tindakan perundangan yang bersesuian boleh diambil jika perlu.
3. Menambah bilangan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dari jumlah sediada sebanyak 8 buah. Kurikulum bersepadu atau integrasi antara akedamik dan agama terbukti mampu melahirkan pelajar yang pintar dan beriman kepada Allah SWT.
4. Menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memperbaiki dan membina kemudahan tambahan bagi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
5. Kerajaan hendaklah menganugerahkan tanah kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil terutama yang berbentuk persendirian supaya sekolah-sekolah tersebut mempuyai keluasan tapak sekolah yang mencukupi di samping dapat mengusahakan tanah tersebut dengan pertanian yang akhirnya akan menjanakan sumber pendapatan yang berterusan kepada sekolah-sekolah tersebut. Perkara ini telah dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR). Sebagai contoh Kerajaan Perak telah meluluskan pemberian tanah seluas 1,000 hektar (2,471 ekar) kepada 9 buah sekolah persendirian Cina dan 1,000 hektar (2,471 ekar) kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) untuk tanaman kelapa sawit.
6. Kerajaan perlu membatalkan cadangan untuk menyerahkan 27 Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Negeri dan SRAB sebaliknya perlu menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi perjalanan sekolah-sekolah ini.
7. Berdasarkan kepada peningkatan masalah sosial khususnya dikalangan belia dan remaja di Negeri Johor maka Pakatan Rakyat (PR) Johor mencadangkan agar peruntukkan khas disediakan bagi merangka program mendekati golongan sasaran bagi mengembalikan mereka ke jalan yang lurus.
8. Kami percaya pelaburan yang lebih tinggi untuk R&D tempatan akan merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menghasilkan kumpulan profesional dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkhidmat di pasaran tempatan dan global. Perbelanjaan R&D ini perlu dihubungkan dengan sistem universiti tempatan bagi meningkatkan kualiti penyelidikan dalam sistem universiti dan membina kemampuan tempatan dalam inovasi dan keusahawanan.
9. Ramai pelajar telah mencari pekerjaan sambilan semasa cuti sekolah atau bukan cuti sekolah tanpa memperkukuhkan pembangunan pendidikan persekolahan mereka. Justeru itu, kerajaan hendaklah mengawal trend ini dengan hanya membenarkan pelajar-pelajar terlibat dengan pekerjaan yang boleh meningkatkan kemahiran mereka khususnya perrniagaan berorentasikan ICT.
10. Mengkaji semula gaji guru KAFA iaitu RM500 sebulan kerana tidak setimpal dengan beban kerja yang ditanggung.
Memerangi Jenayah & Rasuah (3)
1. Kerajaan hendaklah meningkatkan tahap keselamatan awam bukan sahaja untuk menjamin kesejahteraan rakyat tetapi juga untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing dan juga pelancong. Kami difahamkan peruntukan sebanyak RM330 juta telah disediakan kepada Polis DiRaja Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-9. Kerajaan negeri hendaklah memastikan pihak PDRM meningkatkan kecekapan dari segi tempoh tidak balas kehadiran, pendekatan pencegahan melalui Rakan Cop, Polis Hotline dan Laman Web.
2. Walaupun kita faham bahawa pentadbiran polis bukanlah berada pada kuasanya kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan tetap perlu memainkan peranan dalam mewujudkan suasana kediaman yang selesa dan selamat dalam Negeri Johor. Kerajaan Tempatan khasnya perlu menyediakan kemudahan pencahayaan awam yang menyeluruh dan dapat berfungsi dengan berkesan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya jenayah di kawasan perumahan.
3. Pengurusan tanah lapang dan juga bangunan-bangunan terbengkalai juga merupakan salah satu aspek penting dalam pencegahan jenayah. Tanah-tanah lapang yang ditumbuhi semak samun yang rimbun dan bangunan-bangunan kosong sering menjadi tempat penyembunyian penjenayah.
4. Mengurangkan dan meringkaskan prosidur dalam menguruskan segala urusan kerajaan bagi mengurangkan birokrasi sekaligus mengurangkan peluang berlakunya rasuah.
5. Perlaksanaan Sistem Tender Terbuka. Semua kontrak kerajaan mesti ditender secara terbuka, berdaya saing dan telus sama dengan dasar-dasar yang terbukti berkesan dan telah menyelamatkan jutaan wang pembayar cukai. Kesemua syarikat yang layak akan diberikan peluang sama rata untuk mendapat kontrak dan projek bekalan kepada kerajaan. Tender terbuka juga akan diaplikasi dalam peanugerahan konsesi balak, pembangunan tanah kerajaan dan pelupusan aset-aset kerajaan negeri.
Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat (4)
1.0 Menyediakan Peluang Pekerjaan
Pembangunan Iskandar Malaysia (IM) perlu menyediakan 40% peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Johor. Ini adalah kerana ;
1.1 Bagi mengatasi masalah siswazah mengangur di negeri Johor. Keseluruhan siswazah mengangur seluruh Malaysia adalah 65,000 orang
1.2 Memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Johor yang telah menamatkan kursus-kursus kemahiran separa mahir dalam bidang pembinaan bangunan, juruelektrik, penghawa dingin, lanskap dan kimpalan.
1.3 Supaya rakyat Johor sama-sama merasai bahang pembangunan negeri Johor.
2.0 Mewujudkan Usahawan-Usahawan Baru
Melatih dan menyediakan individu sehingga menjadi usahawan yang berjaya. Ianya bertujuan;
2.1 Meningkatkan taraf hidup rakyat serta membolehkan ianya berdikari.
2.2 Konsep seorang usahawan yang berjaya perlu melahirkan 10 lagi usahawan.
2.3 Mengurangkan kebergantungan kepada makan gaji.
3.0 Gaji Yang Setimpal Dengan Taraf Hidup Semasa
Kerajaan perlu mengujudkan skim gaji minimum RM900 sebulan, berserta elaun kolar dan elaun rumah. Skim gaji ini tidak tertakluk kepada berjawatan tetap sahaja. Ianya perlu melibatkan staf berstatus kontrak dan sambilan.
4.0 Memasarkan Produk Industri Ringan, Kraftangan dan Pertanian
Mewujudkan satu agensi di peringkat negeri Johor yang khusus untuk memasarkan produk-produk yang berkaitan industri ringan, kraftangan dan pertanian. Agensi ini perlu memasarkan produk ke luar negara bagi membolehkan harga yang tinggi dan pengeluaran yang banyak
5.0 Pelan Pendapatan Kedua kepada Nelayan di Musim Tengkujuh
Mewujudkan penternakan air awar (ikan air tawar dan udang galah) serta melatih nelayan menjadi seorang pembuat bot. Aktivit musim tengkujuh adalah membuat bot yang ditempah
6.0 Melaui pendidikan (akademik / Kemahiran )
Yayasan Pelajaran Johor dan kolej-kolej dibawah Kumpulan Pendidikan YPJ perlu menyediakan pelan pendidikan akademik dan kemahiran kepada anak miskin. Kaedah pembelajaran adalah ’ Belajar dahulu bayar kemudian’. Pelajar yang terpilih perlu diberi duit saku bulanan untuk sara hidup.
Memperkasakan Sektor Pertanian (5)
1. Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang dikurniakan dengan hasil bumi yang kaya dan amat sesuai untuk memperkembangkan sektor pertanian. Bagaimanapun, pertanian pada hari ini tidak seharusnya dipandang rendah sebagai sampingan kepada sektor-sektor ekonomi yang lain tetapi perlu ditingkatkan dan dijadikan sebagai salah satu teras dalam ekonomi negeri ini.
2. Selain daripada memperuntukkan perbelanjaan yang secukupnya untuk memberi subsidi kepada peladang-peladang dan petani-petani kecil-kecilan, pihak kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada perkembangan industri pemprosesan hasil pertanian (industri hiliran) untuk menambah nilai kepada hasil pertanian kita selain daripada dieksportkan sebagai bahan mentah. Hanya dengan perkembangan sektor industri yang seiringan dengan perkembangan sektor pertanian barulah pendapatan negeri dapat dilipatgandakan di samping memberi jaminan pendapatan yang lebih stabil kepada petani atau peladang apabila memasarkan hasil mereka dalam pasaran dalam negeri. Dengan kata lain, apabila hasil pertanian bertambah dalam sesuatu musim harga pasaran hasil pertanian masih dapat berada pada tahap yang stabil memandangkan hanya sebahagian daripada hasil tersebut dijual terus kepada pengguna dan yang selebihnya akan dijual kepada industri pemprosesan untuk dijadikan sebagai bahan mentah dalam industri yang lain ataupun untuk dieksportkan.
3. Dalam usaha ini, pihak kerajaan negeri dapat memainkan peranan yang lebih giat dalam mencebur diri dalam industri-industri yang tersebut di atas. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga bolehlah memberikan insentif kepada pihak swasta yang berminat untuk menceburi diri dalam industri ini.
4. Menganugerahkan tanah pertanian kepada petani yang tidak memiliki tanah sendiri.
5. Mengujudkan Skim Ladang Rakyat seperti Perbadanan Ladang Rakyat Negeri Kelantan, sebuah badan khas Kerajaan Negeri yang telah membangunkan 23,000 ekar ladang kelapa sawit dan pendapatan yang dijana akan disalurkan terus kepada rakyat miskin (pendapatan < RM530 sebulan). Pembahagian diveden diagihkan 3 bulan sekali berjumlah RM600 @ RM200 sebulan. Sejak dimulakan tahun 2006, seramai 2,061 rakyat miskin mendapat manfaat. 45 orang miskin dari setiap DUN dimasukkan nama sebagai peserta secara percuma. Jumlah dividen akan meningkat apabila ladang mengeluarkan lebih banyak hasil.
6. Mengujudkan semula subsidi kepada pekebun kecil dalam bentuk benih, baja, pagar serta khidmat perundingan supaya pekebun boleh mengusahakan kebun mereka sendiri dengan tanaman getah atau kelapa sawit.
Meningkatkan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (6)
1. Mewujudkan satu sistem pengangkutan “Feeder Bus” bagi bandar-bandar utama di negeri Johor seperti Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Segamat. Feeder bas ini dicadangkan dikendalikan oleh syarikat atau koperasi. Cadangan ini dikemukakan bagi mengatasi maslah perkhidmatan pangankutan awam dikawasan-kawasan yang bas tidak boleh menyediakan perkhidmatan kerana saiz jalan dan kemudahan yang tidak mencukupi. I. “Feeder Bus” juga akan dapat memastikan efisyensi serta keberkesanan jadual serta mutu perkhidmatan yang sedia ada dapat dipertingkatan.
2. Memansuhkan sistem monopoli syarikat pengangkutan dan sekaligus membuka pintu baru bagi syarikat bas pengangkutan awam baru. Kerajaan perlu menguruskan sistem pentadbiran yang lebih telus dan lebih terbuka. Pakatan Rakyat (PR) percaya bahawa dengan dasar terbuka ini, lebih banyak syarikat dan orang persendirian yang lebih berkelayakan dan berkemampuan akan meningkatkan tahap perkhidmatan serta kualiti pengguna yang lebih tinggi dan berdayasaing. Pengguna mempunyai lebih pilihan selain dari yang sedia ada yang kebanyakannya sering menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pengguna dan rakyat.
3. Kerajaan hendaklah mempercepatkan pembangunan serta pembinaan sistem Monorel atau LRT yang telah diumumkan pada 3 Oktober 2005 yang akan menelan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion. Sistem monorel atau LRT ini akan menhubungkan semua sub-bandar atau pekan di sekitar Johor Bahru di mana setiap hentian ini akan mempunyai beberapa pintu keluar yang berasingan bagi memudahkan pengguna menuju ke destinasi yang ingin ditujui. Sistem pengankutan ini sekaligus dapat mengurangkan atau membasmi masalah kesesakan jalan raya serta mengurangkan pencemaran udara yang kini semakin serius.
4. Mengakaji semula pelan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail. Kajian ini perlu kerana setelah lapangan terbang diserahkan kepada pihak swasta sehingga kini ianya masih gagal dibangunakan sepertimana mana yang dirancangkan dan gagal menarik syarikat-syarikat penerbangan baru khususnya dari luar negera untuk beroperasi di lapangan terbang tersebut. Lapangan terbang tersebut sepatutnya mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Negeri Johor.
Pengurusan Hutan & Alam Sekitar (7)
Hutan Hujan Tropika adalah warisan semulajadi yang asli serta unik dan telah wujud sejak berjuta tahun yang lalu dan kaya dengan kelpelbagaian flora dan fauna. Ekosistemnya yang kompleks memainkan peranan yang penting dalam memenuhi keperluan manusia untuk makanan, perlindungan sumber air, pencegahan hakisan tanah dan pantai, memelihara sumber biologi, penstabilan pemanasan global (global warming), membekalkan oksigen dengan menyerap karbon dioksida, sumber perubatan dan nilai ekonomi. Seluas 340,940.871 hektar (842,464.88 ekar) atau 18% dari keluasan tanah Negeri Johor telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984. Terdapat 27 HSK di Negeri Johor. Pokok hutan perlu ditebang untuk keperluan industri perkayuan bagi tujuan pembangunan. Bagaimanapun penebangan secara tidak terkawal akan memberi kesan yang mendalam kepada alam sekitar dan kemusnahan flora dan fauna. Fenomena ini menuntut usaha yang bersungguh-sungguh oleh kerajaan bagi melindungi hutan dari terancam dan pada masa yang sama memastikan industri perkayuan dapat bertahan. Sekarang ini HSK di Negeri Johor terancam dan memerlukan tindakan pembetulan yang segera.
Pencemaran Kualiti Air di HSK
Pencemaran kualiti air di HSK berlaku ekoran dari aktiviti perlombongan dan pertanian di kawasan HSK Mersing (perlombongan bijih besi – 49.39 hektar), HSK Soga (Projek Bumi Hijau – 20 hektar) dan HSK Kluang (Agroforestry – 391.24 hektar). Kebanyakan hutan telah ditebang secara tebang habis yang melanggar syarat permit serta penggunaan racun serangga dan racun rumpai yang berlebihan.
Pencemaran Udara di HSK
Kemerosotan kualiti udara di dalam HSK adalah berpunca dari aktiviti kuari batu. Kerajaan telah mengeluarkan dua lesen bagi mengeluarkan bahan batuan bagi kawasan seluas 6.475 hektar (HSK Banang) dan 46.54 hektar (HSK Sedenak). Kuari ini tidak menyediakan Laporan EIA dan aktivitinya tidak dipantau oleh JAS. Pihak kuari menggunakan kaedah letupan yang menghasilkan bunyi yang kuat serta mengegarkan bangunan sekitar untuk mengeluarkan hasil batuan. Bongkah batu kemudian dihancurkan untuk digredkan dan aktiviti ini mengeluarkan debu dan habuk yang banyak.
Aktiviti Yang Menjejaskan Flora Dan Fauna
Biodiversiti adalah merangkumi semua bentuk kehidupan dan sekecil kuman hingga ke hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan. Biodiversiti mempunyai kegunaan terutamanya sebagai makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Namun kekayaan biodiversiti semakin terancam ekoran aktiviti pembangunan kawasan hutan oleh manusia. Antara projek yang menjejaskan flora dan fauna adalah seperti aktiviti akuakuntur di Hutan Paya Bakau seluas 44.061 hektar di HSK Benut, perlombongan emas seluas 256.41 hektar di HSK Gunung Arong, aktiviti Ladang Hutan untuk tanaman getah seluas 6,072.87 hektar di Cadangan HSK Labis dan Semberong Tambahan (permit dikeluarkan akhir 2007 untuk tempoh 60 tahun). Kebanyakan aktiviti ini melibatkan penebangan secara Tebang Habis yang bertentangan dengan syarat permit. Bagi aktiviti Ladang Hutan Laporan EIA masih belum dikemukakan kepada JAS untuk kelulusan.
Pengurusan HSK
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, pengurusan HSK adalah tidak memuaskan kerana pelbagai sebab antaranya adalah seperti berikut;
1. Kegagalan menyediakan Laporan EIA yang menyebabkan langkah-langkah pengawalan pencemaran alam sekitar tidak dapat dilaksanakan
2. Cadangan HSK lewat untuk diwartakan. Kerajaan pada tahun 1997 hingga 2008 telah mengenalpasti 100,310.25 hektar untuk dijadikan HSK tetapi sehingga sekarang belum diwartakan.
3. Pewartaan HSK mengikut kegunaan belum dilaksanakan sepenuhnya. Kategori kegunaan adalah seperti hutan pengeluaran kayu, hutan perlindungan tanah, hutan tebus-guna tanah, hutan kawalan banjir, hutan perlindungan hidupan liar, hutan dara, hutan lipur, hutan penyelidikan, hutan pelajaran dan hutan bagi maksud persekutuan. Setakat ini hanya seluas 81,982.61 hektar HSK telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air.
4. Kawasan HSK yang dimansuhkan belum diganti dan diwartakan. Pihak kerajaan negeri melalui Seksyen 11, 12 & 13 Akta Perhutanan Negara 1984 boleh mengeluarkan kawasan HSK apabila ia tidak diperlukan lagi atau diperlukan untuk kegunaan ekonomi dengan syarat melalui pewartaan. Tanah HSK yang dikeluarkan hendaklah digantikan dengan suatu kawasan tanah yang mempunyai keluasan yang hampir sama juga melalui pewartaan. Setakat ini 216,923.24 hektar HSK telah dikeluarkan melalui warta dan 1,526.6 hektar telah dikeluarkan tanpa warta. Cadangan HSK untuk diwartakan seluas 100,310.25 hektar hanyalah merupakan 46% dari HSK yang telah dikeluarkan. Ini bermakna kerajaan mash perlu mengantikan seluas 118,139.59 hektar tanah HSK.
Pembangunan Belia dan Wanita (8)
1. Belia dan wanita merupakan golongan yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Pelbagai aktiviti mereka harus direncanakan oleh pihak kerajaan terutamanya di bandar dan pinggir bandar. Kerajaan perlu menubuhkan lebih banyak Pusat Komuniti Rakyat khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti rumah pangsa.
2. Aktiviti belia dan wanita perlu dipantau dan dibantu oleh pihak kerajaan melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan mereka. Peruntukan secukupnya akan disalurkan kepada mereka untuk aktiviti yang berfaedah.
3. Kerajaan hendaklah mempunyai mekanisma yang mantap untuk mengurus aktiviti belia dan wanita. Justru Pegawai Khas Belia & Wanita perlu dilantik disetiap Parlimen di Negeri Johor. Tugas utama mereka adalah untuk mengurus dan mengawal aktiviti belia dan wanita disetiap parlimen di Negeri Johor.
4. Kerajaan hendaklah memberikan perhatian terhadap aktiviti altenatif kepada belia melalui muzik terarah dan aktiviti seni seperti nasyid, teater, lakonan, sajak dan lain-lain. Kelab-kelab berkaitan perlu ditubuhkan setiap parlimen untuk aktiviti mereka.
5. Pengetahuan dan penyaluran maklumat melalui bidang Teknologi Maklumat & Telekomunikasi (ICT) sangat diperlukan khususnya oleh golongan belia dan wanita. Mengikut kajian terdapat 7 trilion maklumat yang disalurkan melalui ICT dalam tempoh masa 1 saat diseluruh dunia. Pendedahan dalam sekolah adalah masih tidak cukup. Pusat Cyber diperlukan di Pusat Komuniti Rakyat yang telah ditubuhkan. Latihan-latihan cyber seperti pengurusan blog, facebook, email, web dan lain-lain diperlukan kepada mereka untuk berkomunikasi secara maya. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai maklumat, kaedah memproses maklumat dan menguruskan maklumat yang datang kepada mereka.
6. Golongan belia dan wanita perlu diberikan peluang untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti sukan yang sesuai dengan mereka. Setiap taman perumahan dan kampung perlu mempunyai kemudahan tempat aktiviti sukan. Pegawai Belia dan Wanita perlu mencari mekanisma terbaik untuk menguruskan aktiviti sukan bagi golongan ini.
7. Peruntukkan yang sewajarnya akan disalurkan kepada masjid dan rumah ibadah bagi semua agama di Negeri Johor. Tujuannya adalah untuk menarik golongan belia dan wanita kepada pembangunan rohani mereka. Aktiviti seperti kem ibadah, motivasi, ceramah, program ibadat dan lain-lain perlu diserasikan kepada golongan ini. Amalan yang streotaip perlu dihentikan. Golongan ini perlu diberi peluang untuk membuat keputusan terhadap kelompok mereka.
8. Belia dan wanita perlu diberi peluang untuk berniaga terutamanya perniagaan berorentasikan IT. Modal, peluang dan kemahiran perniagaan merupakan perkara yang penting kepada mereka. Bengkel-bengkel dan pinjaman mudah akan disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan ini. Mereka yang telah berjaya akan membantu generasi seterusnya untuk hidup berdikari tanpa bergantung kepada pihak kerajaan.
Kebajikan Rakyat (9)
1. Mengujudkan Skim Takaful Khairat Kematian bagi warga emas anak Johor atau bermustautin tetap yang melebihi umur 60 tahun tanpa mengira bangsa dan agama. Jika berlaku kematian wasi akan menerima antara RM2,000 – RM2,500 bagi menguruskan pengebumian simati. Skim Takaful ini adalah diberikan percuma oleh Kerajaan Negeri. Di Negeri Johor anggaran warga emas melebihi 60 tahun adalah seramai 200,000 orang.
2. Mengujudkan Skim Bantuan Ibu Tunggal/Tinggal dengan menyediakan bantuan modal pusingan sebanyak RM3 juta bagi mereka memulakan perniagaan.
3. Mengujudkan ’Skim Rumah Penyayang’ untuk fakir dan miskin. Pembinaan rumah sesebuah kos rendah 3 bilik dengan kos setiap rumah RM28,000 tetapi dengan mutu pembinaannya baik.
4. Bagi meringankan beban kewangan kepada ibubapa yang anaknya berjaya memasuki IPTA/IPTS maka sumbangan sebanyak RM1,500 seorang diberikan kepada pelajar yang berjaya memasuki IPTA/IPTS.
5. Mengujudkan lebih banyak Pusat Rawatan Dialisis secara percuma dengan kerjasama Klinik Wakaf An-Nur dibawah Perbadanan Johor.
6. Menyediakan kemudahan WIFI Percuma dibandar-bandar utama bagi memudahkan capaian maklumat.
7. Mengujudkan skim gaji minimum sebanyak RM900.00 sebulan. Gaji minimum ini penting bagi mengambilkira kos sara hidup yang semakin meningkat dan kenaikan kadar inflasi.
8. Mengujudkan Skim Ladang Rakyat seperti yang dilaksanakan di Negeri Kelantan. Sebuah badan khas Kerajaan Negeri membangunkan 23,000 ekar ladang kelapa sawit dan pendapatan yang dijana akan disalurkan terus kepada rakyat miskin yang berpendapatan kurang dari RM530 sebulan. Sejak dimulakan tahun 2006, ia mampu memberikan dividen RM200 sebulan dan dengan pendapatan ini akan mengeluarkan mereka daripada kelompok miskin.
Akhir Kata
Pakatan Rakyat (PR) Johor komited dengan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti. Baru-baru ini Pakatan Rakyat (PR) Johor telah melancarkan Gagasan Pakatan Rakyat Johor yang mengariskan prinsip atau landasan pemerintahan yang akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi madat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah Negeri Johor dalam PRU-13 nanti. Gagasan yang bertemakan “TAWAN JOHOR” mengariskan prinsip-prinsip berikut;
T: Telus dan berintegriti (Transparent)
A: Adil dalam pemerintahan (Justice)
W: Wibawa dalam kepimpinan (credibility)
A: Amanah dalam sistem penyampaian (trust worthiness)
N: Nilai Murni (universal values)
1. TELUS:
- Membudayakan rakyat dengan elemen tulus dan telus dalam pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan
- Memastikan pemilihan pemimpin yang berakhlah dan beretika
- Pemantauan dan Penilaian Keberkesanan Pentadbiran dan Perbelanjaan Kerajaan
- Kerajaan yang sentiasa membela rakyat
2. ADIL
- Pemerintahan yang adil tanpa mengira kaum dan agama demi kesejahteraan rakyat
- Menjamin keadilan dari perspektif Islam dan forum sejagat
3. WIBAWA
- Membentuk barisan kepimpinan kerajaan yang berwibawa
- Melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berwawasan
- Menjamin kerajaan dan negeri yang berdaulat
4. AMANAH
- Penegasan sifat amanah di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan
- Melaksanakan tugas yang diamanahkan menurut norma norma yang ditetapkan.
- Kuasa dan Rakyat adalah merupakan amanah yang perlu ditadbirurus dengan penuh tanggungjawab
5. NILAI MURNI
- Pakatan Rakyat sebagai pilihan utama yang tiada taranya yang semestinya dipilih oleh rakyat bersandarkan kepada konsep universal atau sejagat yang diterima umum
- PAKATAN RAKYAT ADALAH PILIHAN YANG TEPAT.
Bajet 2010 adalah merupakan Bajet defisit, walaubagaimanapun dengan strategi berbelanja secara berhemah disamping meningkatkan hasil pendapatan negeri serta ketelusan pentadbiran yang sifar rasuah dan amalan kronisme maka ketirisan ekonomi dapat dielakkan daripada berlaku. Dengan kata lain setiap peruntukan yang telah dirancangkan akan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.
Wednesday, November 18, 2009
Wednesday, November 11, 2009
Tuesday, November 10, 2009
Pemyampaian Komputer ke Sekolah Agama Taman Ungku Tun Aminah
Disaksi oleh Pengerusi PIBG Encik Roslan Sidekdan Penolong Kanan Jal Elwal Murid Cikgu Hajah Maznah.
Komputer itu merupakan sumbangan peribadi saya kerana wakil rakyat Pakatan tidak diberikan sebarang peruntukan kerajaan.
Monday, November 2, 2009
Kampung Poh CHee Leng Flash Flood Happens Again
Tuesday, October 13, 2009
Sunday, October 11, 2009
Deepavali 2009
Friday, October 9, 2009
Visit Fire Death Victim's Family at Jalan Timah 2, Taman Sri Skduai

Visit a fire victim's family at Jalan Timah 2, Taman Sri Skudai, at 10 am after reaching home 5am from Bagan Pinang. The parents were quite upset fire brigade arrived without attempting to break in the house back door to save their daughter who were still yelling for help when the fire brigade arrived.
Subscribe to:
Posts (Atom)
.jpg)
.jpg)

